![](//photos1.blogger.com/blogger/7620/947/320/Harussani_Zakaria.jpg)
Cakera padat video (VCD) kumpulan ajaran sesat Ayah Pin yang dijual secara berleluasa dan mendapat sambutan hangat boleh merosakkan akidah umat Islam. VCD itu memaparkan kegiatan ketuanya, Ariffin Mohamad, 65, atau Ayah Pin bersama pengikut menyelitkan beberapa lagu memujanya yang berirama balada, pop, slow rock selain mempunyai elemen nasyid.
Lagu itu dipercayai dinyanyikan artis tempatan yang menjadi pengikutnya bagi menarik perhatian orang ramai, terutama golongan muda supaya menyertai mereka.Antara lirik sebuah daripada lagu itu berbunyi ‘bertapak kukuh di nusantara, rahsia keilmuannya terpelihara untuk manusia berbilangan bangsa, tidak memilih pangkat dan warna’.Lirik lagu lain pula ‘dialah perutusan yang dicari-cari, pemimpin yang unggul berilmu hakiki, terlantiklah sudah pemimpin terpuji, menjadi tumpuan sekelian insani’.
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata umat Islam tidak perlu membeli dan menonton VCD itu bukan saja kerana berunsur syirik tetapi tidak mendatangkan manfaat kepada mereka.Katanya, VCD itu turut memuatkan lagu yang memuja Ayah Pin yang kononnya memiliki kuasa sakti.
“Perbuatan itu salah kerana pemujaan terhadap manusia hukumnya syirik. Malah, mereka yang menganggap Ayah Pin tuhan dikategorikan sebagai syirik besar kerana memuja manusia melebihi batasan.“Hukumnya berdosa besar dan boleh mengakibatkan seseorang itu murtad jika tidak segera insaf dan bertaubat,” katanya.Menurutnya, umat Islam yang lemah imannya sudah tentu mudah terpengaruh dengan ajaran Ayah Pin selepas mendengar lagu dalam VCD itu.“Mereka yang mendengar lagu itu pun boleh syirik selepas terpengaruh dengan maksudnya disebabkan menggunakan lirik serta irama yang mengasyikkan.“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan usah membeli VCD Ayah Pin.
Mereka yang menjualnya juga boleh jadi syirik, yang menyimpannya juga sama kerana memiliki barangan syirik,” katanya.
Harussani berkata, perbuatan menjual VCD itu mungkin dibuat pihak tertentu yang berniat memesongkan kepercayaan umat Islam.“Tanpa disedari VCD itu yang kononnya dijual untuk tatapan, sebenarnya alat propaganda menyebarkan ajaran Ayah Pin, bertujuan menarik pengikut baru,” katanya.
Justeru, beliau mahu pihak berkuasa perlu bertindak segera menyekat penjualan VCD ini sebelum gejala ajaran sesat Ayah Pin bertambah buruk. Sementara itu, pensyarah psikologi daripada Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof Dr Suradi Salim, berkata VCD Ayah Pin menggunakan muzik bagi mempengaruhi pemikiran manusia dan kesannya mendorong mereka melakukan sesuatu perbuatan selepas emosinya dikuasai lagu.
Menurutnya, perkataan dan irama dalam lagu, terutama yang berentak sentimental serta menusuk hati berupaya menarik seseorang mendengarnya.
Katanya, lagu yang berunsur cinta dan kasih sayang paling mudah memikat pendengar kerana mempunyai nilai kenangan atau peristiwa yang menyentuh hati dan perasaan.“Sesuatu lagu mudah masuk dalam ingatan jika ia menyebabkan kita rasa hiba, tersentuh emosi dan teringat kisah lalu yang menyedihkan atau menyeronokkan.
“Contohnya lagu patriotik yang berentak laju menyebabkan darah seseorang gemuruh dan naik semangatnya. Begitu juga jika lagu itu negatif,” katanya.Dr Suradi berkata, kesan buruk boleh terjadi kepada seseorang yang berjiwa lemah dan longgar pegangan agamanya selepas mendengar lirik daripada lagu berunsur negatif.
VCD Ayah Pin itu laris dijual di pasaran terbuka selepas berita mengenai kumpulan ajaran sesat itu yang markasnya terletak di perkampungan ‘Kerajaan Langit’ di Batu 13, Hulu Besut, Terengganu, heboh diperkatakan sejak akhir-akhir ini.
Perkampungan itu kini sudah dirobohkan pihak berkuasa sebagai usaha membanteras ajaran itu.
Polis pula masih menjejaki Ayah Pin yang melarikan diri selepas sebahagian pengikutnya didakwa di Mahkamah Syariah.
Rata-rata yang membeli VCD itu ingin mengetahui aktiviti ajaran Ayah Pin yang diwartakan haram pada 4 Disember 1997, di samping melihat lebih dekat ‘Kerajaan Langit’ Ayah Pin yang mempunyai beberapa binaan gergasi.
Dipetik Dari : Harian Metro
Berdasarkan dari huraian Mufti diatas ingin saya umumkan kepada anda semua saya tidak akan menjual lagi VCD ayah Pin secara membabi buta. Jika anda ingin membelinya dari saya pastikan anda menontonnya dengan niat untuk mengetahui sahaja dan dinasihatkan akan menyembunyikannya kembali atau memusnahkannya agar tidak ditonton oleh orang yang tidak tahu mengenainya kerana boleh membahayakan minda.