Pengikut cari katak, jadi bomoh ekor.
Wednesday, August 31, 2005
Perkara ini didedahkan oleh beberapa penduduk Kampung Batu 13 yang mengakui pengikut kumpulan itu sanggup melakukan pekerjaan yang menjelekkan dan menyalahi agama bagi mendapatkan wang untuk menyara kehidupan mereka.
Seorang peniaga kedai runcit yang dikenali sebagai Ibrahim, 55, berkata, kedainya kerap kali didatangi oleh beberapa pengikut Ayah Pin yang hendak membeli bateri lampu suluh bagi mencari katak pada waktu malam. Saya hairan kerana mereka datang tiga atau empat kali seminggu untuk membeli bateri dan pernah bertanyakan tentang perkara itu kepada pengikut kumpulan berkenaan. Mereka beritahu yang bateri cepat habis kerana lampu suluh digunakan untuk menyuluh dan menangkap katak pada waktu malam di kawasan ladang getah di sekitar kampung ini,'' katanya ketika ditemui di sini, petang semalam.
Sebanyak 58 pengikut kumpulan itu telah ditahan dalam satu serbuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu yang dibantu polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Isnin lalu.
Perkampungan yang mempunyai beberapa bangunan dan replika gergasi seperti cerek dan payung itu kini lengang dengan hanya beberapa kanak-kanak yang menghuninya selepas operasi tersebut. Ibrahim memberitahu, pengikut kumpulan itu boleh mendapat sehingga empat hingga lima kilogram (kg) katak pada setiap malam dan ia kemudiannya dijual kepada peraih Cina. Mengikut kata mereka, katak-katak itu dijual dengan harga RM15 hingga RM17 sekilogram dan ia akan dijadikan hidangan kepada pelanggan di restoran-restoran bukan Islam di beberapa tempat termasuk di Kota Bharu, Kelantan,'' ujarnya.
Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, markas kumpulan itu juga pernah menjadi tempat tumpuan kepada kaki-kaki judi dari beberapa kawasan berdekatan untuk mendapat nombor ekor.
Ujarnya, beberapa pengikut Ayah Pin mendakwa mereka boleh mendapat keputusan nombor ekor lebih awal dengan upacara `menurun' pada setiap malam Jumaat. Katanya, setiap kaki judi yang hendak mendapatkan nombor yang hendak dibeli perlu membayar di antara RM20 hingga RM50 kepada pengikut Ayah Pin yang kononnya boleh membantu dengan kuasa dari Kerajaan Langit. Saya sendiri pernah cuba untuk mendapatkan nombor daripada mereka, tetapi tak berhasil kerana nombor yang saya beli tak `naik'. Sebab itu saya sedar ini semua tipu,'' katanya ketika ditemui di Kampung Batu 13 dekat, sini. Menurutnya, selain itu para pengikut Ayah Pin juga melakukan beberapa kerja lain seperti penoreh getah, peneroka, tukang rumah, pemandu van pekerja dan juga penjual batu nisan.